Anak syarikat milik penuh Public Bank, Public Mutual akan melancarkan dua dana baru, Public Dana Islamic Alpha-40 Growth (PIA40GF) dan Public Dana Islamic Infrastructure Bond (PIINFBF) pada 16 November 2010.

PIA40GF merupakan sebuah dana ekuiti Islam yang bermatlamat mencapai pertumbuhan modal dengan melabur dalam maksimum 40 saham mewah, saham indeks dan saham bertumbuh patuh Syariah terpilih yang tersenarai terutamanya pada Bursa Sekuriti dan pasaran-pasaran serantau.

PIINFBF pula adalah sebuah dana bon Islam yang menyediakan pendapatan tahunan kepada pelabur melalui pelaburan dalam sukuk bagi syarikat-syarikat sektor infrastruktur.

Ketua Pegawai Eksekutif Public Mutual Yeoh Kim Hong berkata, “PIA40GF mengguna pakai strategi pelaburan yang lebih bertumpu dan boleh mencapai potensi pulangan yang lebih tinggi dalam jangka masa sederhana hingga panjang di mana dana ini melabur dalam sebuah portfolio saham bertumpu yang mengandungi tidak lebih daripada 40 saham.” Beliau menambah bahawa 88% daripada sekuriti-sekuriti yang kini tersenarai pada bursa tempatan adalah berlandaskan Syariah. Ini mewakili lebih kurang dua pertiga daripada pemodalan pasaran Bursa Malaysia. Pelabur-pelabur yang ingin melabur dalam sekuriti patuh Syariah akan mempunyai pilihan saham-saham patuh Syariah yang meluas yang merangkumi pelbagai industri dan sektor dengan melabur melalui PIA40GF.

Pendedahan ekuiti PIA40GF adalah di antara 75% hingga 98% daripada nilai aset bersih (NAB) dana. Bagi mencapai peningkatan kepelbagaian, dana ini boleh melabur sehingga 30% daripada NAB dana dalam pasaran-pasaran luar negara terplilih, ini termasuk Singapura, Taiwan, Korea Selatan, Jepun, Australia, New Zealand, Hong Kong, Negara China, Negara Thai, Indonesia, Filipina dan pasaran-pasaran lain. PIA40GF adalah sesuai bagi pelabur-pelabur yang ingin mengambil bahagian dalam potensi pertumbuhan jangka panjang sebuah portfolio yang bertumpu dalam maksimum 40 saham patuh Syariah.

Sementara itu, PIINFBF pula memberi pelabur peluang memasuki pasaran sukuk, yang lazimnya tidak terbuka kepada pelabur-pelabur biasa di mana ia merupakan pasaran bagi institusi-institusi dengan lot urusniaga standard berjumlah RM5 juta. Sukuk yang diterbitkan oleh syarikat-syarikat sektor infrastruktur biasanya disokong oleh aliran tunai yang boleh diramal dan aliran pendapatan yang stabil di sepanjang tempoh konsesi penerbit berkenaan. Yeoh berkata syarikat-syarikat infrastruktur yang PIINFBF mungkin melabur termasuk konsesi loji tenaga, pembekal perkhidmatan telekomunikasi, konsesi jalan raya bertol dan operator pelabuhan.

Menurut Yeoh, PIINFBF melabur sehingga 98% daripada NABnya dalam sebuah portfolio sukuk bagi syarikat-syarikat yang terlibat dalam sektor infrastruktur dan baki asetnya dalam instrumen pasaran wang Islam. Untuk mempelbagaikan pelaburan, dana ini boleh melabur sehingga 25% daripada NAB dana dalam sukuk luar negara, termasuk Singapura, United Kingdom, Jepun, Australia, Hong Kong dan pasaranpasaran lain yang diluluskan. PIINFBF adalah sesuai bagi pelabur-pelabur yang ingin memperolehi pendapatan tahunan yang stabil dengan wang pokok yang agak selamat dengan menyertai sukuk yang diterbitkan oleh syarikat-syarikat dalam sektor infrastruktur.

Harga terbitan permulaan PIA40GF dan PIINFBF ialah sebanyak RM0.2500 seunit dan RM1.00 seunit masing-masing di sepanjang tempoh tawaran permulaan selama 21 hari dari 16 November hingga 6 Disember 2010. Pelaburan permulaan minimum bagi kedua-dua dana ialah RM1,000 dan pelaburan tambahan minimum ialah RM100. Di sepanjang tempoh tawaran tersebut, bayaran perkhidmatan promosi istimewa serendah 5% daripada harga terbitan permulaan seunit ditawarkan ke atas pembelian unit PIA40GF oleh para pelabur. Para pelabur yang memilih untuk melabur dalam PIA40GF dengan menggunakan Arahan Debit Terus semasa tempoh tawaran juga akan menikmati bayaran perkhidmatan promosi sebanyak 5.25% NAB seunit selagi Debit Terus itu masih aktif. Tertakluk kepada syarat dan peraturan.

Public Mutual merupakan syarikat unit amanah swasta yang terbesar di Malaysia, menguruskan sebanyak 82 dana. Syarikat tersebut mempunyai seramai lebih 2,320,000 pemegang akaun dan pada 29 Oktober 2010, jumlah nilai aset bersih dana yang diuruskan oleh syarikat tersebut adalah sebanyak RM40.2 bilion.