Anak syarikat milik penuh Public Bank, Public Mutual, mengumumkan pengagihan untuk tiga daripada dana-dananya. Jumlah pengagihan kasar yang diumumkan untuk tahun kewangan dana yang berakhir pada 31 Disember 2010 adalah seperti berikut:

Public Dana Savings : 9.00 sen seunit
Public Dana Focus Select : 2.00 sen seunit
Public Dana Islamic Enhanced Bond : 3.00 sen seunit

Ketua Pegawai Eksekutif Public Mutual Yeoh Kim Hong bersukahati bahawa kesemua dana di atas berjaya menghasilkan pulangan yang menarik untuk pelabur-pelabur mereka. Beliau berkata, “Public Dana Savings dan Public Dana Focus Select telah mencatatkan pulangan satu tahun dua-digit sebanyak 17.94% dan 25.77% masing-masing bagi tempoh berakhir 3 Disember 2010 (Sumber: Lipper, 13 Disember 2010). Kedua-dua dana itu terbuka kepada Skim Pelaburan Ahli KWSP.”

Public Dana Savings yang dilancarkan pada tahun 1981 merupakan dana pertama Public Mutual. Dana tersebut bertujuan untuk mencapai pertumbuhan modal jangka panjang, pada masa yang sama menghasilkan aliran pendapatan yang berpatutan. Public Dana Focus Select, yang dilancarkan pada tahun 2004, pula bertujuan untuk mencapai pertumbuhan modal melalui pelaburan dalam syarikat-syarikat dari pelbagai sektor ekonomi yang bersaiz sederhana dari segi pemodalan pasaran.

Sementara itu, Public Dana Islamic Enhanced Bond yang dilancarkan pada tahun 2006 telah mencatatkan pulangan satu tahun sebanyak 4.88% bagi tempoh yang sama. Sebagai sebuah dana bon patuh Syariah, dana tersebut bermatlamat menawarkan kombinasi pendapatan tahunan dan pertumbuhan modal yang sederhana terutamanya melalui portfolio yang terdiri daripada sekuriti hutang Islam dan saham-saham yang memenuhi kehendak Syariah.

Kesemua dana tersebut diedarkan oleh perunding-perunding unit amanah Public Mutual.

Public Mutual merupakan syarikat unit amanah swasta yang terbesar di Malaysia dengan menguruskan sebanyak 84 dana. Syarikat tersebut mempunyai seramai lebih 2,380,000 pemegang akaun dan pada 30 November 2010, jumlah nilai aset bersih dana yang diuruskan oleh syarikat tersebut adalah sebanyak RM40.2 bilion.